BERUK TUNGGAL
Kononnya, ada sebuah istana terletak
di tebing sebatang sungai. Rajanya mempunyai tujuh orang puteri. Baginda amat
sayang kepada Puteri Bongsu.
Di tebing sebelah istana ada sebuah
pondok buruk. Penghuninya seorang perempuan setengah umur. Kerjanya bertani.
Perempuan itu sangat inginkan
seorang anak. Pada suatu hari, dia minum air di sebuah tempurung. Selepas itu
dia mengandung lalu melahirkan seekor beruk. Ia dinamakan Beruk Tunggal.
Setelah besar, Beruk Tunggal
menolong ibunya bertani. Tahun itu padi menjadi tetapi diserang tikus. Beruk
Tunggal menangkap semua tikus yang menyerang padinya. Kemudian dia mencari Raja
Tikus. Apabila bertemu, Raja Tikus itu diberi amaran. Raja Tikus ketakutan
kerana ia tahu Beruk Tunggal jelmaan seorang anak raja kayangan.
“Hamba tidak tahu huma ini kepunyaan
tuanku,” kata Raja Tikus.
“Padi aku sudah habis. Apakah
tindakan kamu?” Tanya Beruk Tunggal.
“Hamba akan suruh rakyat hamba
mengumpulkan butir emas,” kata Raja Tikus.
“Baiklah, aku terima pemberian itu!”
kata Beruk Tunggal. Kemudian, segala tikus itu datang membawa butir emas.
Banyaklah emas di pondok Beruk Tunggal.
Beruk Tunggal meminta emaknya meminang
puteri raja. Emaknya pun pergi ke istana. Raja terkejut mendengar permohonan
perempuan itu. Namun raja menyampaikan juga permohonan itu kepada ketujuh-tujuh
orang puterinya.
“Kahwin dengan beruk?” Tanya Puteri
Sulung. Puteri yang lain turut hairan. Hanya Puteri Bongsu yang bersopan-santun
sahaja yang sanggup menjadi isteri Beruk Tunggal.
Raja dan permaisuri kasihan kepada
Puteri Bongsu. Baginda meminta hantaran sebentuk cincin berlian. Pada fikiran
raja, tentulah perempuan miskin itu tidak berdaya menyediakannya.
Beruk Tunggal memohon kepada ayahandanya, Raja Kayangan. Pada malam itu, ayahanda Beruk Tunggal menghantar secupak cincin berlian. Emak Beruk Tunggal pun mempersembahkan cincin berlian yang secupak itu ke istana.
Dia meminta baginda memilih sebentuk
cincin yang sesuai. Raja tidak dapat mengelak. Puteri Bongsu pun dikahwinkan
dengan Beruk Tunggal.
Selepas itu baginda tidak mahu
mereka tinggal di istana. Puteri Bongsu mengikut Beruk Tunggal tinggal
dipondoknya. Pada malam pertama, Puteri Bongsu menemui sarung beruk. Esoknya,
Beruk Tunggal tidak bersarung lagi. Dia bertukar menjadi seorang pemuda yang
kacak.
“Kekanda sebenarnya putera Raja
Kayangan. Bakarlah sarung beruk itu. Taburkan sedikit debunya di luar pondok.
Pintalah sesuka hati adinda,” kata putera Raja Kayangan.
Puteri Bongsu mengikut suruhan
putera raja itu. Sebentar itu juga pondoknya bertukar menjadi istana, lengkap
dengan taman yang indah.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar